nuffnang

Monday, 28 December 2015

Ular yang Tak Boleh Mati!!

P/s: Letak gambar kartun jer. Seram nak letak gamba betol. 


ULAR INI TIDAK BOLEH MATI!

Semalam di Nat Geo Wild, telah diumumkan bahawa ular yang sangat berbahaya baru sahaja ditemui. Saintis mendakwa bahawa ular merupakan species baru : revolusi keluarga reptilia itu. Menurut Nat Geo Wild, ular tersebut akn brtmbah 0.5 cm panjang setiap kali ia makan dgn sekali suapan setiap 30 saat atau kurang. Ular ini tidak boleh dibunuh atau dicederakan oleh senjata malahan ianya mati hanya apabila ia menggigit dirinya sendiri. Huh mengejutkan?

Saintis mendakwa bahawa hanya ada satu-satunya cara ia boleh dibunuh tetapi kajian masih diteruskan untuk mencari cara-cara baru ular ini boleh dibunuh. Ini adalah ular yang paling beracun dan dahsyat pernah direkodkan dalam sejarah manusia.

Ular ini hanya boleh didapati dalam Nokia 3310 telefon mudah alih di bawah pilihan permainan, ular Xenzia. Terima kasih kerana berhati-hati dan sabar membaca ini!


Haha.. Saspens je bace. 

Sumber: Facebook


Sunday, 20 December 2015

Baca Quran Tapi Tak Faham Maksud..

Takpe ke baca quran berkali-kali khatam, tetapi masih tak faham maksud. Apa lagi orang Melayu seperti kita yang tak pandai dalam bahasa Arab. Ikuti kisah ini yang menerangkan kepada kita kebaikan membaca Al-Quran..
Ada seorang yang membaca Al-Qur'an...
Tetapi dia tidak dapat menghafalnya walaupun sedikit.
Maka, anaknya yang kecil bertanya: "Apa faedah baca Al-Qur'an tanpa menghafalnya sedikitpun?!"
Jawab ayah: "Aku akan beritahu kepadamu sebentar lagi apabila kau penuhkan bakul jerami ini dengan air laut bawa kepadaku."
Kata anak: "Mustahil ia penuh."
Jawab ayah: "Cubalah dulu."
Bakul jerami itu digunakan untuk memindahkan arang. Maka budak itu mengambilnya dan menuju ke laut, lalu cuba memenuhkannya dan terus pergi kepada ayahnya dengan cepat.
Tetapi, airnya telah kering lalu ia berkata kepada ayahnya: "Tidak ada faedah saya mengisinya."
Ayahnya menjawab: "Cuba lagi kali kedua!"
Maka budak itu melakukannya, tetapi masih tidak berjaya untuk membawa air kepada ayahnya. Dia mencuba lagi kali ketiga, keempat dan kelima tetapi tiada faedah kerana air tidak dapat dipenuhkan.
Budak itu berasa sangat letih dan berkata kepada ayahnya: "Tidak mungkin saya dapat memenuhkan bakul jerami ini dengan air."
Kata ayah kepada anaknya: "Adakah engkau lihat sesuatu yang berlaku kepada bakul jerami?"
Budak itu terkejut dan menjawab: "Ya ayah. Asalnya bakul jerami itu kotor dengan bekas-bekas arang, sekarang telah bersih sepenuhnya."
Maka, berkata sang ayah kepada anaknya: "Ini adalah sempurna apa yang dilakukan Al-Qur'an kepadamu. Dunia dan segala amalannya telah memenuhi hatimu dengan segala kekotorannya, dan Al-Qur'an seperti air laut yang membersihkan hatimu walaupun engkau tidak menghafal sedikitpun ayatnya..."
Sucikan hatimu, dengan berzikir dan mengingati Allah...

Sumber: Facebook


Saturday, 12 December 2015

Mentaati ibu bapa amalan mulia

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ahh!" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Hai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (al-Isra’: 23-24)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Apabila Allah SWT memerintahkan supaya berbuat baik kepada ibu bapa, maka hal itu berpunca daripada sebab-sebab yang berikut:
1 Kedua-dua orang ibu bapalah yang telah melimpahkan belas kasihan kepada anaknya, malah telah bersusah payah untuk memberikan kebaikan kepadanya dan menghindarkannya daripada bahaya. Oleh sebab itu, hal itu wajib diberi imbalan dengan berbuat baik dan bersyukur kepada mereka.
2Anak merupakan peninggalan ibu bapa, sebagaimana diberitakan dalam sebuah hadis bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Fatimah adalah belahan jiwaku."
3Kedua ibu bapa telah memberi kenikmatan kepada anak, ketika anak itu berada dalam keadaan lemah dan tidak berdaya walau sedikit pun. oleh sebab itu, hal itu wajib dibalas dengan rasa syukur, ketika mereka telah tua, sebagaimana dinyatakan oleh penyair Arab ketika menyebut-nyebut kenikmatan daripada-Nya disebabkan anaknya telah melayaninya dengan tidak senonoh, setelah dia tua.
Dinyatakan di dalam berita para salaf untuk menjelaskan maksud ayat ini, katanya: Seandainya jika ada perkataan yang lebih rendah daripada uf, atau cis dalam pengetahuan Tuhan, nescaya Dia akan mengharamkan manusia untuk menyebutkan kepada ibu bapanya.
Medan jihad
Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam al-Halal wa al-Haram menyebut: Islam sangat mengambil berat terhadap kerelaan kedua ibu bapa, maka dia telah mencegah seorang anak daripada melibatkan diri dalam berjihad atau pergi ke medan perang tanpa keizinan daripada kedua ibu bapa, sedangkan jihad pada jalan Allah SWT sangat tinggi martabatnya menurut pandangan Islam, tidak dapat disamakan dengan bangun malam bersolat di sepanjang malam ataupun berpuasa di siang harinya. Dinyatakan dalam sebuah riwayat daripada Abdullah bin Amr bin al-`Ash, katanya yang bermaksud: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Allah SAW lalu memohon keizinan untuk keluar berjihad lalu Rasulullah SAW pun bertanya kepadanya: Adakah kedua ibu bapamu masih hidup? Jawab lelaki itu: Ya. Lalu Baginda SAW menjawab: Hendaklah kamu berjihad untuk kedua ibu bapamu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Iaitu jadikanlah medan jihadmu atau perjuanganmu dengan melakukan kebaikan kepada keduanya dan menjaga keduanya. Dalam suatu riwayat yang lain lagi berbunyi: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW berkata: Aku membai’ahmu untuk berhijrah dan berjihad, justeru aku inginkan pahalanya daripada Allah SWT! Rasulullah SAW bertanya kepadanya: Apakah kedua ibu-bapamu masih hidup? Lelaki itu menjawab: Ya, kedua ibu bapanya masih hidup lagi. Rasulullah SAW bersabda: Apakah benar kamu inginkan pahala daripada Allah SWT? Jawabnya: Benar. Rasulullah SAW bersabda: Kembalilah kepada keduanya dan berbuat baiklah dalam pergaulanmu dengan keduanya. (riwayat Muslim)
Dalam suatu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu berkata: Aku datang kerana hendak membai’ahmu untuk berhijrah, dan aku telah tinggalkan kedua ibu bapaku dalam keadaan menangis. Nabi SAW bersabda kepadanya: Sekarang juga kembali kepadanya buatlah sesuatu untuk menjadikannya tertawa sebagaimana kamu telah membuat mereka menangis. (riwayat al-Bukhari)
Abu Said al-Khudri meriwayatkan seorang lelaki dari negeri Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah SAW lalu Baginda SAW bertanya: “Adakah kamu mempunyai keluarga di Yaman? Lelaki itu menjawab: Ada. Rasulullah SAW bertanya lagi: Apakah mereka mengizinkanmu datang ke mari? Jawabnya: Tidak. Lalu Rasulullah bersabda: Sekarang kembali dahulu kepadanya dan meminta izin keduanya. Kalau mereka memberi keizinan kepadamu, barulah boleh kamu berjihad. Jika tidak maka hendaklah kamu berbuat baik kepada mereka." (riwayat Abu Daud)
Antara peraturan yang sangat dititikberatkan dalam Islam mengenai hal yang berkaitan berbuat baik kepada ibu bapa, ialah Islam melarang umatnya menderhaka kepada kedua ibu bapa sekalipun mereka masih musyrik atau kafir, tidak mahu beriman kepada Allah SWT.
Bahkan sekalipun mereka terus menentang Islam dan sangat kuat berpegang kepada kepercayaan kufurnya itu, sentiasa mencuba dan melakukan apa sahaja untuk menarik anaknya daripada Islam serta menabur fitnah dalam agamanya.
Semoga pencerahan seperti ini menjadikan kita benar-benar memuliakan ibu bapa selaras dengan anjuran Islam.


Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20141017/ba_02/Merahmati-ibu-bapa#ixzz3u9UAkJGa